'Insiden Di Langkawi, Yang Naik Berang Itu Penyokong PH'

KUALA LUMPUR - Persatuan Pemandu Kereta Sewa Langkawi mendakwa insiden kecoh yang berlaku di Parlimen itu tempoh hari, berpunca daripada penjelasan yang kurang menyenangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu teksi.

Menurut Setiausahanya, Muhammad Nazrul Abd Rahim , keterangan dan penerangan yang mengecewakan daripada Dr Mahathir telah menyebabkan segelintir pemandu meluahkan rasa tidak senang.

Katanya, lebih mengecewakan adalah mereka itu terdiri daripada penyokong PH yang begitu mengharapkan penjelasan yang tuntas daripada perdana menteri, tetapi berlaku sebaliknya.

"Ini semua program daripada pihak lain... bagi pemandu yang dianggapnya biadab itu sebenarnya bukanlah biadab dia cuma nak luahkan perasaan yang terlalu kecewa dengan apa jawapan Dr Mahathir sebenarnya dia mengharapkan lebih daripada itu.

"Jadi dia marah dalam itu lebih baik dia keluar dewan, dia juga sebenarnya betul-betul berkempen semasa PRU14, untuk mengajak pemandu teksi menyokong PH terutama Dr Mahathir, jadi selepas PH menang dia telah berikan perkhidmatan percuma kepada pengguna di Langkawi selama satu-dua hari itulah komitmen dia," katanya selepas bertemu dengan wakil  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Kuala Lumpur Sentral, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden di majlis perjumpaan Dr Mahathir bersama persatuan pemandu teksi di Langkawi tempoh hari yang  kecoh seketika apabila beberapa orang ahli persatuan bertindak biadab keluar majlis dan berteriak kerana tidak setuju dengan pandangan beliau berhubung perkhidmatan e-panggilan, Grab.

Kira-kira 10 orang pemandu teksi itu berteriak dan mengeluarkan kata-kata kesat sambil berjalan keluar selepas perdana menteri berkata beliau akan terus mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan isu berkenaan demi manfaat semua pihak.

Kekecohan itu hanya berlaku kira-kira dua minit dan selepas keadaan reda, Dr Mahathir berkata beliau sebagai perdana menteri hanya cuba untuk membantu golongan pemandu teksi untuk memulihkan kembali pendapatan mereka.

Mengulas lanjut katanya, pihaknya sangat kesal dengan kejadian itu dan mewakili mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan itu, beliau meminta maaf kepada Dr Mahathir.

"Kami begitu kesal dengan kejadian tersebut, kami dengan sepenuh hati memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir kerana sebenarnya program itu bukan dianjurkan oleh persatuan saya," katanya.

Dalam pada itu jelasnya, selepas berakhirnya insiden itu besar harapannya agar ada perubahan terhadap industri teksi di negara ini.

"Harapan kami agar ada perubahan jangan kami dihina lagi,  kami harap tiada pihak yang terus memalit penghinaan kepada pemandu teksi kami sedia beri perkhidmatan yang terbaik kepada semua," katanya.

SUMBER : Sinar Harian