Bahu Ditepuk 2 Kali Dan Selepas Itu Wanita Ini Kerugian Duit Yang Banyak

Dua kali tepuk rugi RM15,000. Itu nasib menimpa wanita warga emas apabila kerugian wang tunai dan barang kemas selepas mendakwa dipukau tiga penjenayah yang menepuk bahunya dalam kejadian kelmarin.

Ketika kejadian jam 1.30 tengah hari di sebuah pasar raya di Alam Jaya, Kuala Selangor, mangsa berusia 60 tahun membeli barang keperluan di situ sebelum didatangi tiga warga Indonesia iaitu seorang lelaki dan dua wanita.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Asri A Wahab berkata, seorang daripada suspek terbabit kemudian menepuk bahu mangsa dan mengarahkannya keluar dari pasar raya berkenaan.

Status Facebook Dari Anak Mangsa



Suspek membawa mangsa masuk ke dalam sebuah kereta berwarna kelabu dengan seorang lelaki warga Indonesia menunggu di dalam kenderaan.

“Suspek kemudian meminta mangsa menanggalkan semua barang kemas miliknya, namun wanita itu enggan berbuat demikian kerana barang kemas berkenaan berada di dalam beg,” katanya, semalam.

Mohd Asri berkata, seorang daripada suspek terbabit sekali lagi menepuk bahu mangsa dan secara tidak sedar wanita itu memaklumkan memberi semua barang kemas miliknya seolah-olah dipukau.

“Suspek turut memberitahu mangsa mengenai hadiah loteri RM200,000 dan meminta pertolongan wanita itu menebus hadiah berkenaan. Mangsa juga diminta memberikan wang dan barang kemas sebagai cagaran.

“Mereka kemudian membawanya menaiki kereta terbabit menuju ke Bandar Baru Sungai Buloh dan meninggalkannya di depan sebuah bank sebelum beredar,” katanya.

Beliau berkata, mangsa membuat laporan polis selepas mengesyaki dipukau dan mengalami kerugian dianggarkan RM15,000.

“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu giat dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Hmetro Online