10 Penceramah Popular Dilarang Muncul di TV, Radio?

SHAH ALAM - Senarai nama penceramah yang didakwa bakal digam daripada muncul di TV dan radio bermula bulan depan tersebar.

Penceramah terkenal, Datuk Mohd Kazim Elias ada meluahkan perasaan sedihnya atas perkhabaran itu.

“Dengor khabarnya teman (saya) dah tak digalakkan untuk keluar dalam program di TV dan radio. Sedihnya, nak nangis pula rasanya.

“Alhamdulillah dunia dakwah sangat luas. Janji dakwah jalan terus yang sedihnya bagi yang menyekat itu, apa lah nak dijawab di hadapan ALLAH SWT apabila disoal sedangkan menyampaikan dakwah itu adalah perintah ALLAH..

“Lepas ini nak buat kerja apa ya?,” tulisnya di Facebook, malam tadi.

Nama Mohd Kazim di tempat kedua selepas Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani diikuti Samsul Debat, Dr Redzuan Tee Abdullah, Ustaz Abdullah Khairi, Ustazah Norhafizah Musa, Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Zamihan, PU Amin dan PU Syed.

Sementara itu, PU Syed akui tidak kisah sekiranya disekat muncul di kaca TV dan corong radio.

“Ambe (saya) tak kisah jika disekat untuk ke udara di TV atau Radio milik kerajaan atau swasta. Zaman ini siaran langsung kita boleh buat sendiri pada bila-bila masa dan di mana jua.

“Kenapa nak bersedih? Relaks-relaks saja. Ambe disekat kerana tegur kerajaan jika ambe ampu kerajaan, nama ambe takkan tersenarai,” katanya.

Malah katanya, beliau sering berdepan ‘dibuang’ daripada mengajar di masjid ketika zaman BN lagi.

Namun beliau tidak takut kerana ujian ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan ujian diterima para anbiya.

“Ambe sejak zaman BN memerintah, jika ada salah, ambe akan tegur dan ambe tak takut.

“Mungkin mereka tak tahu bahawa ujian terhadap usaha dakwah para anbiya lagi dahsyat sehingga ada yang dibunuh oleh kaumnya.

"Jadi apa yg berlaku ini hanya kemuncup yg melekat dan boleh dibuang begitu sahaja. Ambe bukan kumpul harta melalui denai dakwah ini cuma mencari reda ALLAH untuk bekalan di Akhirat sana,” katanya.

SUMBER : Sinar Harian