Anak Repot Polis Bapa Gagal Bina Tandas

CHENNAI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari India membuat repot polis supaya bapanya ditahan kerana gagal membina sebuah tandas seperti dijanjikan, kata polis, hari ini.

Difahamkan, jutaan warga India tidak mempunyai akses kepada kemudahan kebersihan dan membuang air besar secara terbuka menjadi masalah walaupun di negeri maju dan rancak dengan aktiviti industri.

Kanak-kanak perempuan itu, E Hanifa Zaara tidak mahu membuang air besar di tempat terbuka dan berjaya membuatkan bapanya berjanji untuk membina tandas dalam rumah, kata pegawai polis, A Valarmathi.

Bagaimanapun, tandas itu tidak dibina dan beliau pergi membuat laporan polis, kata Valarmathi dari kawasan selatan Ambur kira-kira 100 kilometer dari bandar Chennai.

“Kanak-kanak perempuan ini mendesak mahu bapanya ditahan kerana rasa tertipu. Kami menghubungi bapanya, memanggil beliau ke balai polis dan menyuruh mereka berjabat tangan serta mencapai kompromi,” kata Valarmathi. - Reuters

SUMBER : Bharian Online