Lima Tahun Penjara Jika Orang Islam Sambut Krismas di Brunei

Orang Islam dilarang menyambut Krismas, termasuk menghias atau mengenakan sebarang simbol perayaan tersebut, di Brunei mulai tahun ini.

Mereka yang melanggar larangan tersebut, yang diumumkan hujung tahun lalu, boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, lapor AFP hari ini.

“Menggunakan simbol-simbol keagamaan [Kristian] seperti salib, menyalakan lilin, pokok Krismas dan menyanyikan lagu-lagu agama, menghantar kad ucapan … bertentangan dengan akidah Islam,” agensi berita itu memetik khutbah Jumaat seperti disiarkan dalam akhbar tempatan.

Bagaimanapun penganut agama lain boleh menyambut Krismas, asalkan tidak terbuka dan  tidak pula keterlaluan.

Premis-premis perniagaan pula diberikan amaran agar tidak menghias simbol-simbol Krismas dan pihak berkuasa juga meningkatkan rondaan untuk memastikan larangan itu dipatuhi, lapor AFP lagi.

Hotel-hotel yang sering dikunjungi pelancong-pelancong Barat, dulu sering meletak pokok besar Krismas sempena sambutan itu setiap 25 Disember, kini dilaporkan gersang daripada sebarang hiasan.

Seorang warga Malaysia yang bertugas di negara itu, yang tidak dinamakan, menyifatkan tahun ini sambutan Krismas “paling sedih” yang pernah dilaluinya.

“Semua ini atas titah sultan. Pada 2013, saya melihat ramai orang Islam dan Kristian sama-sama bergembira di majlis-majlis di rumah mereka. Semua baik-baik dan biasa-biasa saja,” katanya.

Pengharaman itu dibuat sejajar dengan pengumuman Sultan Hassanal Bolkiah yang memperkenalkan undang-undang Islam, termasuk hudud dan takzir seperti diumumkan April 2014.

Awal tahun ini, seorang pegawai Kementerian Hal Ehwal Ugama Brunei dilaporkan mengharamkan perhiasan Krismas di premis-premis perniagaan.

Kementerian itu pula menyatakan sebarang perayaan agama selain Islam dikhuatiri akan memesongkan akidah.

SUMBER : Projek MM