Nabi Pun Pernah Terpaksa Tak Tunai Janji, Kata - Khalid Samad

KONVENSYEN AMANAH | MP Shah Alam sekali lagi jelaskan bahawa PH tetap mahu tunaikan tawaran dalam manifesto namun berdepan kekangan kewangan.

Nabi pun penah tidak dapat menunaikan janji, apatah lagi manusia biasa - itu jawapan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad terhadap cakap-cakap mengenai janji manifesto Pakatan Harapan (PH) yang belum dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Kata Khalid, kegagalan menunaikan janji itu bukanlah disengajakan, sebaliknya akibat kekangan semasa iaitu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan mencukupi.

“Ada orang kata, kita tidak tunaikan janji.

"Nabi SAW pun dulu pernah bawa sahabat dari Madinah nak ke Mekah, (baginda) berjanji nak buat umrah, tetapi dihalang. Sampai di Udaibiyah, tidak dapat.

“Itu nabi! Apalah janji manifesto yang dibuat oleh manusia biasa," katanya.

Khalid yang juga anggota parlimen Shah Alam menegaskan PH memang komited mahu melaksanakan semua janji yang diikrarkan mereka sebelum pilihan raya umum lalu.

“Memang kita nak buat, tapi tak boleh, duit tak cukup.

"Bukan kerana Mat Sabu (Mohamad Sabu) belikan beg tangan Birkin untuk Kak Normah (isteri Mohamad),” katanya disambut tawa hadirin.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan sebagai pengarah komunikasi di Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Hotel Casuarina, Ipoh hari ini.



SUMBER : Malaysia Kini