Pentadbir Kuil Kata RM525,618 Telah Dibelanja Dari Pampasan RM1.5 juta Yang Diterima

PENTADBIR Kuil Sri Maha Mariamman yang sah, K. Chelappa mendedahkan bahawa persatuan kuil Sri Maha Mariamman telah membelanjakan sebanyak RM525,618daripada RM1.5 juta wang pampasan yang diterima.

Katanya wang itu dikeluarkan daripada simpanan peguam One City Development Berhad untuk membina dan menyelenggara struktur sementara kuil, upacara pembinaan kuil sementara, dan yuran guaman semasa mempertahankan persatuan.

"Pihak persatuan sedia untuk menunjukkan perbelanjaan setakat ini jika diperlukan oleh pihak berkuasa," kata Chellappa.

Menurut Chellappa, ramai pihak yang salah faham apabila menyangka dia bersama-sama dengan mereka yang tidak mahu Kuil Seafield dipindahkan.

"Saya mahu tegaskan kami tidak terlibat dalam tunjuk perasaan pada 26 dan 27 November, dan kami sama sekali tiada kaitan dengan mereka yang terlibat dalam tunjuk perasaan itu," katanya lapor Free Malaysia Today.

Katanya dia sedia bekerjasama dengan Peguam Negara, Tommy Thomas bagi mencari penyelesaian terhadap isu penempatan semula kuil tersebut.

Chellappa juga menolak dakwaan dia melarikan duit pampasan RM1.5 juta diberi oleh pemaju One City Development Sdn Bhd.

Chellappa dan seorang lagi individu bernama Nagaraju sebelum ini terlibat dalam satu pertikaian di mahkamah bagi menentukan siapakah pengurus kuil yang sah.

Keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada Chellappa, dan keputusan penghakiman berhubung pengurusan kuil itu juga tidak dirayu.

Ini menjadikan Chellappa sebagai individu yang sah dan diiktiraf dari segi undang-undang untuk melaksanakan perjanjian dan membuat keputusan berhubung masa depan kuil berkenaan.