'Saya Sertai Bersatu Kerana ...' - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: : Datuk Mas Ermieyati Samsudin menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana mencari solusi yang lebih berkesan dalam membela kepentingan terutama pengundi di Masjid Tanah.

Jelas Ahli Parlimen Masjid Tanah itu, keputusan diambil, setelah bermuhasabah dan memikirkan sedalam-dalamnya ia jalan terbaik dalam kerangka negara Malaysia yang majmuk.

"Insya-Allah, saya berharap dapat turut sama membantu usaha Bersatu selaku parti komponen kerajaan dalam melaksanakan agenda pemerkasaan wanita muda, di samping bersikap lebih terbuka dalam memperjuangkan nasib belia supaya mereka dapat merasai satu kehidupan yang lebih baik dan juga untuk mewujudkan masa hadapan yang lebih cerah bagi Malaysia.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti”

- Mas Ermieyati

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada sahabat-sahabat dari Masjid Tanah, Melaka dan seluruh negara yang banyak membantu sepanjang saya berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, dari peringkat nasional sehingga ke akar umbi.

"Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kepimpinan parti kerana berkenan menerima penyertaan saya," katanya dalam kenyataan selepas menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Bersatu di sini, pada Khamis.

Mas Ermieyati turut berharap, Malaysia baharu akan mewujudkan budaya politik lebih matang, inklusif, di samping meletakkan tadbir urus dan integriti sebagai keutamaan.

"Sudah tiba masanya semua pihak tanpa mengira fahaman politik dapat mencari satu titik persamaan demi kepentingan rakyat. Kepada Allah jua kita berserah," jelasnya.

Mas Ermieyati  mengumumkan keluar daripada parti UMNO dengan menjadi Ahli Parlimen Bebas pada 1 Julai lepas

Menurutnya, tindakannya itu dibuat seikhlas hati tanpa ada mana-mana paksaan atau ancaman selain mahu menjadi pembangkang yang menegur kerajaan tanpa terikat dengan etika ahli parlimen yang mewakili sesebuah parti.

SUMBER : Astro Awani