'Ketua Bahagian Mahu Singkirkan Syed Saddiq' - PBBM

Ketegasan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyelar tindakan perwakilan menjadikan isu pemberian kontrak dan jawatan sebagai tajuk perbahasan nampaknya tidak disenangi ketua-ketua bahagian parti tersebut.

Menerusi laporan Malaysia Kini, beberapa ketua-ketua bahagian dikatakan berang dan sedang membincangkan usaha untuk menyingkirkan Syed Saddiq.

Portal tersebut melaporkan, mesej perbualan dalam media sosial antara ketua-ketua bahagian Bersatu menunjukkan mereka geram dengan kelantangan Menteri Belia dan Sukan itu.

Salah seorang ketua bahagian mahu Syed Saddiq memohon maaf secara terbuka kepada perwakilan Wilayah Persekutuan dan ketua-ketua bahagian.

“Untuk kembali ke muka buku yang sama, Syed Saddiq perlu basuh dosanya yang membuka aib Bersatu dan perlu memohon maaf secara terbuka kepada (perwakilan) Wilayah Persekutuan dan ketua-ketua bahagian sekalian.

“Saya berjanji akan menggerakkan seluruh negara untuk tolak Saddiq. Insya-Allah,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi ketua bahagian menyifatkan perbuatan Syed Saddiq yang menyelar isu pemberian projek sebagai melampau.

“Kebiadapan Armada mencabar ketua-ketua bahagian satu perkara melampau. Armada tidak kenal siapa dicabarnya.

“Syed Saddiq tidak mendidik mereka cara menghormati. Saya nak tengok bagaimana Armada nak bergerak tanpa sumber,” katanya.

Isu ini berbangkit Ahad lalu ketika Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu Kali Ke-2, apabila Ketua Penerangan Armada, Ulya Aqamah Husamuddin mengecam cadangan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman agar ketua bahagian dan ketua cawangan parti diberikan projek kerajaan.

Usaha Utusan Online mendapatkan komen Syed Saddiq mengenai niat ketua-ketua bahagian untuk menyingkirkannya tidak berhasil apabila beliau tidak menjawab panggilan telefon dan mesej WhatsApp yang dihantar kepadanya tidak dibaca.

SUMBER : Utusan Online

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express