Makanan Unik "Durian Bakar" Di Kota Kinabalu

Dalam pada segelintir masyarakat luar negara terutama bagi mereka yang melabel durian sebagai buah-buahan eksotik kerana baunya yang tajam, namun tidak memberi kesan kepada penggemar ‘raja segala buah’ ini.

Bagi anda yang menggemari buah durian, pasti akan tertanya-tanya dengan sajian inovasi ini iaitu durian bakar. Selalu kita makan durian begitu sahaja kan? Kali ini cuba pula makan durian dari sudut berbeza iaitu bakar dahulu durian sebelum makan.



Apa yang menariknya? Bagaimana rasanya?

Penggemar buah durian bolehlah mencuba makan durian bakar di pasar malam Jalan Gaya yang terletak di Kota Kinabalu. Ia dijual oleh seorang pengusaha buah-buahan, Dennis Chan dengan menggunakan durian daripada baka kampung kerana isinya banyak dan saiz buah lebih kecil untuk mudah dibakar.

Hendak menikmati durian bakar ini, durian dibungkus terlebih dahulu menggunakan kertas aluminium sebelum dibakar menggunakan arang selama 45 minit. Perlu menunggu sejuk dahulu supaya mudah dimakan dan rasanya seakan seperti disalai.

Chan yang mengusahakan dusun buah-buahan seperti durian dan rambutan di Papar yang dikenali sebagai Borneo Fruits Garden berkata, beliau memulakan kaedah membakar durian sejak 4 tahun lepas dan baru pertama kali menjual durian bakar di kawasan Kota Kinabalu.

Walaupun agak pelik dengan inovasi sajian ini, mengejutkan kerana durian bakar juga digemari pelancong asing terutama dari China dan Korea Selatan. Kata Chan, durian bakar juga agak baharu bagi segelintir peminat durian khususnya di daerah tersebut berbanding kelapa muda bakar.

Bagi anda yang ingin mencuba keenakan durian bakar, ia dijual dengan harga RM60 sebiji. Anda boleh mencari durian bakar ini di pasar malam Jalan Gaya atau lebih dikenali sebagaiApi-Api Food Market @ Gaya Street yang beroperasi dari pukul 6 petang hingga 2 pagi setiap Jumaat dan Sabtu.

Berbaloi atau tidak, anda yang penggemar durian pasti tidak akan melepaskan peluang merasainya.

SUMBER : Free Malaysia Today

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express