Maszlee Malik Letak Jawatan

Saya Kini Bukan Lagi Presiden UIAM

"Surat perletakan jawatan telah saya tandatangani dan hanya menunggu pengesahan dan pengumuman pengganti saya.” – Maszlee Malik

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik hari ini mengesahkan yang beliau sudah tidak lagi memegang jawatan tersebut yang sepatutnya berakhir pada 2021 mengikut perjanjian yang telah dipersetujui.

Beliau berkata, surat peletakan jawatan telah pun ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi pihak berkenaan untuk pelepasan jawatan yang disandangnya bermula September tahun lepas.

“Saya Kini Bukan Lagi Presiden UIAM.”

“Saya kini bukan lagi presiden UIAM, surat peletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.

“Peletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya dalam UIAM, di Kluang hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam yang turut dihadiri oleh Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Kata Maszlee lagi, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah peletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor UIAM Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada gambar dan berita yang diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa kemudahan terbabit yang telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.

“Hari ini kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan yang selesa ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

SUMBER : Bernama

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express