Saya Bukan 'Barua' Cina, Saya Malu Dengan Rakan Kongsi Saya Yang Dituduh Pengedar Dad4h Juga

PELAKON Datuk Rosyam Nor meluahkan rasa sedih apabila digelar ‘barua’ oleh segelintir netizen di laman sosial.

Rosyam, 52, berkata dia mengakui mempunyai hanya 10 peratus saham dalam syarikat pasar raya tersebut dan selebihnya dimiliki Pengarah Sri Ternak Group Sdn Bhd, Datuk Raymond Ho Cheng Hann dan adiknya, Alan Ho Cheng Yek.

“Perkataan ‘barua’ tu cukup menyedihkan saya dan juga keluarga. Lain-lain kecaman saya boleh terima. Sedih dan malu kerana niat nak bantu masyarakat Melayu untuk dapatkan barangan murah tapi lain jadinya.

“Saya tegaskan, saya bukan duta untuk ST Rosyam Mart seperti yang didakwa netizen di laman sosial. Saya mempunyai 10 peratus saham dan selebihnya milik Datuk Raymond dan adiknya.

“Selama ni pun saya tak pernah mengatakan ST Rosyam Mart ini adalah milik saya sepenuhnya. Tapi ia adalah gabungan saya dan syarikat Sri Ternak,” katanya kepada mStar Online.



Rosyam ditemui ketika majlis sidang media pencerahan dan penjelasan isu ST Rosyam Mart di Dewan Sri Iskandar, Taman Setiawangsa pada Sabtu.

Selain Rosyam, sidang media itu turut dihadiri pihak ST Rosyam Mart Sdn Bhd.

Baru-baru ini tular di media sosial menyatakan pasar raya ST Rosyam Mart dimiliki oleh peniaga bukan Melayu.

Dalam pada itu, Rosyam telah membuat laporan polis terhadap individu yang mendakwa dia sebagai ‘barua Cina’ dan menuduh bapa kepada pengarah Sri Ternak Group, Ho Ah Chai bekerja sebagai pengedar dadah.

Menurutnya, dia terpaksa membuat laporan tersebut dan mengadakan sidang media kerana berasa malu dengan rakan kongsinya disebabkan dakwaan tersebut.

“Saya terpaksa ambil tindakan membuat laporan polis sebab individu tersebut merosakkan nama Rosyam. Selain itu , saya turut buat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Mohd Fauzi yang menuduh bapa kepada Raymond, bekerja sebagai pengedar dadah.

“Sebelum ini saya tak pernah ambil tindakan biarpun ada macam-macam dakwaan menyatakan saya mencemuh kepimpinan Pakatan Harapan dan perdana menteri Malaysia.

“Saya malu dengan rakan kongsi saya. Sebab selama 70 tahun mereka dalam perniagaan runcit tak pernah menerima tuduhan dan fitnah seperti ini.

“Saya adakan sidang media ni pun untuk menjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf kepada bapa Raymond atas dakwaan tersebut,” katanya.

Pasar raya ST Rosyam Mart yang dibuka 24 jam sehari mula beroperasi di Setiawangsa sejak pertengahan tahun lalu.

ST Rosyam Mart merupakan cubaan pertama pelakon filem KL Gangster 2 itu membuka pusat borong dengan usaha sama syarikat Sri Ternak.

SUMBER : Mstar Online

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express