Cara Dan Panduan Menanam Pokok Cili Di Dalam Polibag

Pokok Cili ini boleh ditanam di dalam polibag/pasu?

Pertama sekali, pokok cili ini kadar pertumbuhannya singkat, sekitar 6 bulan di dalam pasu atau polibag. Ini disebabkan oleh faktor pertumbuhan akar yang terhad selepas 6 bulan, berbanding apabila ditanam di atas batas.

Penanaman cili di atas batas, boleh memanjangkan tempoh penanaman sehingga 7-9 bulan, bergantung pada penjagaan dan kawalan yang berjadual.

Seandainya, saudara mempunyai sebahagian kecil tanah di sekitar kawasan rumah, atau kawasan yang lapang dan terbuka pada cahaya matahari, pokok cili boleh ditanam dan mampu mengeluarkan hasil dengan baik.

Biarpun kawasan terbuka tersebut bersimen pada lantainya.

Di dalam panduan ini saya sertakan panduan bergambar, bermula pada peringkat semaian benih cili sehingga proses pindah tanam anak pokok.

Penyemaian Benih Cili

Untuk peringkat penyemaian biji benih, saya akan tunjukkan dua jenis kaedah yang pernah kami gunakan untuk menyemai biji benih, sama ada di peringkat penanaman kecil-kecilan di halaman rumah mahupun di peringkat komersial.

Perkara yang paling asas dalam program penanaman adalah di peringkat penyemaian benih.

Seandainya, Tuan dan Puan menghadapi kesukaran, limitasi dan gangguan di peringkat asas ini, nescaya di peringkat penanaman kelak akan berlaku masalah yang lebih besar.



1. Semaian Kecil-kecilan di Rumah

Aktiviti semaian di rumah kebiasaannya untuk mereka yang hanya berniat untuk menanam sejumlah kecil tanaman sayur-sayuran. Cukup untuk makan sendiri sahaja.

Ada juga yang bermula kecil-kecilan di rumah, akhirnya membesar sehingga mampu mengusahakan tanaman pada skala komersial.

Secara asasnya, proses semaian ini ada beberapa keperluan yang diperlukan oleh benih untuk bercambah.

Untuk langkah penyemaian secara kecil-kecilan di rumah, saya ada tuliskan secara terperinci di dalam artikel Panduan Semaian Biji Benih Cili Di Rumah.

2. Semaian Benih Secara Komersial

Di dalam peringkat semaian cili secara komersial, kita tidak lagi menggunakan polibag-polibag kecil untuk menyemai setiap satu benih cili tersebut. Dalam kaedah baru, kita menggunakan dulang semaian, atau dalam bahasa inggeris dikenali sebagai Germination Tray.

Jika Tuan atau Cik Puan masih tertanya-tanya apakah itu dulang semaian, di dalam artikel Kenapa Benih Cili Perlu Disemai Dalam Dulang Semaian ada saya tulis berkenaan perkara tersebut.

Bahkan, perkara yang paling penting dan aspek yang kadang kala terlepas pandang di dalam peringkat semaian secara besar-besaran turut disentuh di dalam penulisan tersebut.

Saya pasti hampir sebahagian besar daripada kita banyak belajar daripada kenalan atau jiran yang mengusahakan tanaman secara fertigasi, dari sumber internet, di group Facebook, dan juga Whatsapp.

Namun, sesi pembelajaran tersebut kadang kala tidak difahami secara menyeluruh.

Sebagai contoh, di peringkat semaian ini, jika di dalam sesi latihan Speed Class Fertigasi Cilibangi, saya biasa membuat survey terlebih dahulu sebelum sesi kelas bermula. Hampir sebahagian besar peserta mengalami masalah dalam langkah pertama peringkat semaian ini.

Bahkan, kesilapan dan kegagalan yang berlaku adalah akibat daripada salah faham dalam mengikut tatacara menyemai benih itu sendiri.



Pindah Tanam Anak Pokok Cili Di Dalam Polibag/Pasu

Di dalam peringkat pindah tanam anak pokok ini, perkara yang perlu diambil kira adalah soal kematangan pokok cili. Pelbagai persoalan yang timbul, antaranya seperti:

Adakah pokok cili yang disemai itu sudah cukup matang untuk dipindahkan?

Berapakah jumlah hari yang diperlukan untuk menjadikan anak pokok cili menjadi matang?

Apakah petanda yang biasa kelihatan yang menunjukkan pokok cili sudah matang?

Berdasarkan morfologi (bentuk luaran) anak pokok cili, kita sudah dapat menafsirkan ciri-ciri kematangannya:

Mempunyai 8 daun sekurang-kurangnya.

Pangkal batang tunggalnya berubah warna keperangan.

Secara keseluruhannya, untuk mendapatkan ciri-ciri berikut, aspek pencahayaan dan rutin siraman air memainkan peranan penting.



1. Pencahayaan

Sepanjang tempoh 30 hari di dalam dulang semaian, anak pokok cili akan ditempatkan di dalam rumah semai yang berbumbung telus cahaya.

Ini bermaksud, dulang tersebut akan ditempatkan di atas para, di dalam rumah yang ditutup rapi, berdinding dan berbumbung.

2. Rutin Siraman

Kebiasaannya, setiap hari selepas anak pokok cili bercambah, kita akan lakukan aktiviti siraman anak pokok pada waktu pagi dan petang.

Jika waktu pagi, jam 11.00 pagi juga adalah waktu pagi. Namun, tidak selewat itu waktu siramannya. Ini akan menyebabkan medium semaian akan kekeringan dan pokok akan terbantut.

Sebaiknya, pada awal pagi, bermula pada jam 7.00 – 8.00 pagi. Manakala, waktu petang pula pada jam 5.00 petang ke atas. Bagi yang muslim, boleh rehat sebentar untuk solat, dan mulakan aktiviti siraman selepas itu.

Kadang kala, ada yang terlupa untuk menyiram pokok, almaklumlah banyak projek kenduri kendara di hujung minggu. Khusus bagi mereka yang menyemai kecil-kecilan di rumah ya.

Jika masih berlaku di kebun komersial, ini bermaksud kita gagal dalam mengurus kerja, periuk nasi kita tu.

3. Waktu Yang Sesuai Aktiviti Pindah Tanam

Jadi, waktu bila sebenarnya anak pokok cili ini boleh dipindahkan ke dalam polibag? Ada yang kata tidak kisah waktu bila pun, janji anak pokok boleh hidup.

Benar, jika kena pada tekniknya, waktu bila tanam pun pokok boleh hidup. Namun, tidak semua pekerja yang digaji itu terlatih untuk membuat aktiviti menanam.

Jika yang diupah itu baru belajar menanam, salah teknik menanam, jadi haru semua plot tanaman jadinya.

Waktu yang paling sesuai adalah pada waktu petang. Bermula jam 4.00 petang ke atas. Waktu begitu, cahaya matahari sudah beransur sejuk sedikit, sudah perlahan panas teriknya.

Elakkan aktiviti pindah tanam pada waktu tengah hari, semasa matahari memancarkan cahayanya yang terik. Ini akan meningkatkan risiko anak pokok layu, dan kemungkinan besar akan mengalami kelayuan kekal.

Kenapa pada waktu petang?

Ini bertujuan untuk memberi peluang pada pokok untuk berehat dan pulih daripada pelbagai kerosakan yang mungkin berlaku akibat kecuaian pekerja itu sendiri.

Kecuaian yang sering berlaku pada peringkat pindah tanam ini adalah akibat merentap keluar anak pokok cili dari dulang semaian secara paksa.

Seharusnya, akar anak pokok dijaga sebaiknya. Itulah bahagian yang paling sensetif pada peringkat anak pokok. Tarik keluar dengan sempurna dan cermat.

Kebiasaannya, jika usia anak pokok pada 26 hari dan ke atas, akarnya sudah padat dan memenuhi ruangan lubang dulang semaian.

Jarang berlaku, akarnya tidak padat. Jika berlaku, mungkin pada peringkat pembesaran dalam dulang semaian kita rendam terlalu lama dalam takungan air. Akar pokok cili tidak gemar terendam terlalu lama di dalam air.

Aktiviti Pindah Tanam

Bersama artikel ini saya sertakan video ringkas bagaimana proses pindah tanam anak pokok cilibangi dilakukan di atas batas penanaman kami.

Teknik ini turut diguna pakai untuk aktiviti pindah tanam di dalam polibag dan pasu. Sama ada menggunakan medium tanah ataupun sabut kelapa.

Tekniknya adalah sama.

https://youtu.be/djxYTtsWupA

SUMBER : Cilibangi

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express