Cara Dan Panduan Tanam Keladi Cina Secara Ladang Besar-Besaran

Cara Dan Panduan Menanam Keladi Cina Secara Ladang

Artikel yang kami kongsikan kali ini ditulis oleh Carlz Jafran melalui blognya Tanomkinotuan.



Keladi cina adalah salah satu jenis keladi yang sangat popular di kalangan masyarakat Cina di Malaysia. Musim Tahun Baru Cina adalah waktu rezeki kepada pengusaha keladi cina kerana masa ini harga keladi naik mendadak sehingga RM9 hingga RM 12.30 sekilo. Ia juga digemari rakyat kita dengan pelbagai resepi dihasilkan seperti kerepek keladi, bubur keladi, kuih keladi dan sebagainya. Pokok keladi atau nama saintifiknya ialah Colocasia Esculenta termasuk dalam keluarga pokok Araceae berbatang lembut dengan berdaun lebar. Isi membesar sebagai isi keladi yang dimakan. Sesetengah orang menyukai memakan pucuk batang mudanya. Berikut adalah cara menanam pokok keladi Cina secara ladang mengikut cara tanomkinotuan.

Mula-mula tentukan kawasan atau tanah untuk menanam di mana sinaran matahari melebihi 6 jam. Anda perlukan sekurang-kurangnya 1 ekar atau lebih untuk menanam pokok keladi secara ladang. Tanah yang sesuai untuk menanam keladi ialah tanah hitam, loam dan tanah gambut yang dibaikpulih. Tanah beralun dan rata juga sesuai untuk penanaman keladi cina ini. Anda boleh menyewa tanah dari orang lain untuk tujuan di atas tetapi pastikan diusahakan bersungguh-sungguh untuk pulangan yang menguntungkan.

Keduanya, mendapatkan anak keladi (sulur/korob) dalam jumlah yang banyak. Anda boleh berhubung dengan jabatan pertanian untuk mendapatkan info di mana boleh memperolehi anak keladi dalam jumlah yang banyak. Anda juga boleh berhubung dengan orang yang biasa menanam pokok keladi Cina. Secara umumnya harga anak keladi cina di pasaran ialah kira-kira RM 0.30 sen hingga RM0.60 sen sebatang (harga di Sabah). Cuba pilih anak keladi yang sihat, tidak berpenyakit dan bersaiz besar. Sebelum membeli anak keladi cina buat servey tentang harga terlebih dahulu. Setiap penjual meletakkan harga berbeza-beza, ini supaya anda boleh mendapatkan harga anak keladi yang berpatutan. Jika anda menanam pokok keladi dalam 1 ekar, anda perlukan anak keladi berjumlah 8000 batang anak keladi. Katakan sebatang anak keladi berharga RM 0.30 sen (8000 X RM 0.30 sen = RM 2400 ringgit) maka anda harus menyediakan jumlah model seperti di atas untuk mendapatkan anak keladi ini. Contoh tersebut bagi menanam pokok anak keladi tidak berbatas dan 18 000 anak pokok diperlukan jika menggunakan batas.

Pembersihan kawasan menanam adalah perkara utama, tebang pokok dan semak samun pada tanah tersebut. Biarkan kering dan bakar. Bagi anda yang memilih untuk membuat lubang, perlu meracun rumput jika rumput sudah tumbuh. Namun meracun tidak perlu jika tanah anda dibajak.

Jika anda berkemampuan bolehlah memilih untuk dibajak tanah anda, sewa mesin bajak pemecah tanah dan mesin bajak piring untuk pengemburan. Tanomkinotuan tidak berpengalaman dalam hal bajak membajak ini. Bagi tanomkinotuan, hanya menggunakan cangkul sahaja. Buat lubang sedalam 1 kaki dengan jarak antara lubang ialah 4 kaki. Anda boleh buat sendiri (jimat kos) atau mengaji orang lain. Cara ini sesuai digunakan pada tanah tinggi atau cerun. Namun jika melakukannya pada tanah rata tiada masalah. Bagi tanomkinotuan, pembajakan tanah lebih praktikal dan digalakkan. Tanomkinotuan memilih menggunakan kaedah cangkul sebab tanah tersebut sudah ditanam pokok getah. Sambil menunggu pokok getah membesar bolehlah ditanam tanaman yang mendatangkan untung. Terpulang kaedah mana yang anda pilih.

Setiap lubang tersebut bubuh kapur pertanian dengan kadar setengah gengam atau kurang dari itu jika tanah anda kurang berasid. Seterusnya bubuh baja kompos atau tinja binatang seperti tinja ayam reput dengan kadar 2 genggam sahaja. Untuk penjimatan anda boleh memilih baja organik tinja ayam kerana murah. Anda perlukan 50 hingga 70 karung tinja ayam untuk 1 ekar keluasan tanah. Rehatkan tanah anda sekurang-kurangnya 2 minggu barulah menanam. Biar tinja ayam sebati pada tanah. Dalam tempoh membuat lubang rumput juga akan tumbuh, sebelum menanam racun rumput dahulu supaya persaingan mendapatkan makanan kurang antara anak keladi dan rumput rumpai.

Setelah aktiviti melubang dan membaja selesai dan dibiarkan selama 2 minggu, anda sudah boleh menanam. Tanam anak keladi sedalam 3 hingga 4 inci di dalam tanah. Jangan terlalu dalam nanti isi keladi terbentuk memanjang dan tidak bulat. Ini menjejaskan rupa dan bentuk keladi anda. Jika memilih pada tanah yang dibajak tanam anak keladi sedalam 3 hingga 4 inci dengan jarak 3 hingga 5 kaki pada setiap lubang atau batas. Jika anda menggunakan penyiram berkala, siram dengan air setelah selesai menanam. Keladi cina tanomkinotuan hanya berserah pada air hujan saja.

Apabila pokok keladi anda sudah berusia 2 hingga 3 minggu dengan jumlah daun 2 hingga 3 helai, bubuh baja NPK 2 genggam pada setiap pokok keladi. Jika anda tidak kesah anda bolehlah menggunakan baja subur urea (warna merah) untuk pembajaan. Lakukan pembajaan pada minggu ketiga selepas ditanam, minggu keenam (baja subur dan baja isi berwarna putih), minggu kesembilan (baja organik, baja urea untuk subur dan baja urea untuk isi) dan minggu keduabelas dengan baja kompos dan baja isi.

Merumput adalah aktiviti yang harus dilakukan, buang rumput rumpai pada kawasan penanaman keladi anda. Jangan biarkan keladi anda dipenuhi rumput. Ini supaya pokok keladi anda membesar dengan baik.

Apabila keladi cina anda sudah berusia 3 bulan ke atas, anda harus mencabut atau membuka anak keladi yang tumbuh di sekeliling pokok keladi induk. Berhati-hati untuk membuka anak keladi agar akar keladi induk tidak cedera teruk. Tujuan membuka anak keladi ialah supaya induk keladi cina anda cepat membesar dan cepat berisi tanpa berlaku pembahagian zat makanan ke tempat lain. Ini dapat memendekkan waktu tuaian keladi cina anda.

Pokok keladi juga mudah diserang makhluk perosak seperti serangan belalang dengan memakan daun keladi. Selain itu serangan dari apid hitam pada batangnya, juga serangan dari ulat hijau gergasi, terdapat juga serangan dari ulat seribu yang menyerang pada daun muda, ulat jenis ini bersaiz kecil tetapi berjumlah banyak. Penyakit keladi seperti reput akar, penyakit mata-mata dari serangan fungi, pucuk layu dan penyakit tompokan hitam pada batangnya. Pertama sekali kawalan masalah di atas boleh dikurangkan dengan menjaga kualiti tanah, kelembapan dan pembajaan serta zat makanan. Elemen tersebut membolehkan pokok keladi cina hidup subur. Keduanya, guna racun serangga organik yang boleh dibeli di pasaran untuk menghalang serangan lagi teruk atau anda boleh menggunakan racun serangga yang boleh dibeli di kedai pertanian.

Keladi cina sudah boleh dituai setelah genap 6 bulan (bagi di Sabah) anda boleh melihat isi keladi sudah tertonjol keluar dari tanah. Daun dan pokok keladi menampakkan kering sedikit. Cabut pokok-pokok keladi yang sudah matang dengan mencucuk pisau di sekelilingnya. Berhati-hati jangan mencederakan isi keladi tersebut. Bersihkan tanah, anak keladi perlu dibuka dan batang yang reput melekat pada isi keladi. Jangan sesekali cuci dengan air. Isi keladi akan mengeluarkan getah yang menyebabkan kegatalan pada tangan anda.

Berhubung dengan pemborong untuk menjual keladi anda. Pastilan pemborong menilaikan harga keladi anda mengikut harga pemborong yang betul. Jangan tertipu kerana ini melibatkan usaha anda selama 6 bulan termasuklah model yang dilaburkan.

Semoga bermanfaat. Jangan lupa kongsikan artikel ini terima kasih.



Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express