Dr. Maszlee Malik: Subjeks Sains Dan Sastera Bakal Disatukan Di Peringkat Sekolah Menengah

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mendedahkan usahanya untuk menggabungkan aliran sains dan sastera di peringkat sekolah menengah seluruh Malaysia. Idea berkenaan difahamkan telah dicadang oleh jawatankuasa kajian semula terhadap Polisi Pendidikan Kebangsaan.



“Kita tidak akan mengasingkan anak-anak kita mengikut aliran sains ataupun sastera lagi. Menerusi kurikulum baru yang akan dilaksanakan kelak, kita bukan sahaja menekankan kepentingan sains malahan sastera (dan kebudayaan) juga kerana pengetahuan itu adalah satu – tidak boleh diasingkan sebaliknya perlu disatukan”, jelasnya yang mahu menjadikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) sebagai satu cara hidup.



“Kami juga akan mengalihkan keutamaan guru dan pensyarah secara menyeluruh untuk memberi tumpuan kepada pengajaran STEM dengan cara yang menyeronokkan agar STEM dapat diakses oleh semua”, tambahnya.

Beliau turut menyatakan bahawa pendidikan STEM juga akan dikemas kini kepada STREAM – termasuk komponen Seni dan Membaca, sambil menambah bahawa seni juga akan terus ditingkatkan di sekolah-sekolah dan universiti.



Semasa sesi dialog yang dianjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asian (ASLI), Dr. Maszlee dilihat aktif menjawab pelbagai soalan berkaitan dengan sistem pendidikan negara.

Ia turut dihadiri oleh Pengerusi ASLI, Tan Sri Jeffrey Cheah, Pengerusi Pusat Polisi Awam ASLI, Tan Sri Ramon Navaratnam dan Kumpulan Pendidikan Sunway serta Pengarah Eksekutif Universiti Sunway, Elizabeth Lee.



Tan Sri Jeffrey Cheah juga telah mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan penubuhan sebuah jawatankuasa berkuasa tinggi mengenai pendidikan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.“Tidak adil untuk meletakkan beban ini semata-mata di bahu Dr Maszlee.

Saya cadangkan jawatankuasa itu termasuk semua kementerian dan wakil berkaitan dari pihak berkepentingan utama yang lain. ini akan menjadi jawatankuasa yang mengawasi sektor pengetahuan dari perspektif holistik”, akhirinya.

SUMBER : World of Buzz

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express