Pemenang Loteri Memakai Topeng ‘Scream’ Semasa Mengambil Cek RM4.76 Juta Supaya Tiada Saudara-Mara Yang Tahu

Seorang lelaki bertuah dari Jamaica baru-baru ini telah diisytiharkan sebagai pemenang utama cabutan loteri dan dia telah membuat tuntutan kemenangan tersebut dengan memakai topeng dari filem seram ‘Scream’ supaya saudara-maranya tidak akan dapat mengecam dan mengenali dirinya.

The Washington Post melaporkan pada 5 Februari yang lalu, pemenang utama loteri Super Lotto yang hanya mahu dikenali sebagai A.Campbell telah memakai jubah putih bersama sarung tangan hitam dan topeng ‘Scream’ untuk menuntut hadiah kemenangan itu yang bernilai RM4.76 juta (JMD158 juta).



A.Campbell mengambil masa selama dua bulan untuk menuntut cek kemenangan ini kerana dia telah jatuh sakit.

Campbell berkata, “Sejak mendapat tahu saya telah menang, saya telah jatuh sakit. Kepala saya sangat sakit selama tiga hari kerana saya terlalu memikirkan kemenangan ini, yang mana telah diidamkan buat sekian lama. Saya juga telah mengalami sakit perut yang teruk selama dua minggu. Sehingga pada satu ketika ia amat sakit dan saya terus terlupa yang saya telah memenangi loteri.”



Walaupun Campbell sedia maklum tarikh akhir tuntutan loteri itu pada bulan Februari, dia berkata, “Saya hanya mahu benar-benar bersedia sebelum tampil ke hadapan dan membuat tuntutan.”

Campbell mengambil masa yang agak lama untuk menuntut ceknya. Akan tetapi, sekurang-kurangnya masa selama 54 hari itu telah memberi Campbell untuk berfikir masak-masak sebelum membuat keputusan tentang bagaimana untuk membelanjakan wang kemenangannya.



Menurut Campbell kepada Jamaica Star, “Saya mahu membeli rumah yang cantik dan selesa. Saya masih belum menemuinya, tetapi akan mencarinya kelak. Saya amat gembira dan sukakan diri kini mempunyai wang.”

Adalah menjadi perkara biasa di Jamaica apabila pemenang loteri akan menyamarkan diri dengan memakai topeng atau lain-lain bentuk penyamaran ketika mengambil cek kemenangan mereka.



Pakar keselamatan bernama Robert Finzi-Smith memberitahu Jamaica Star yang para pemenang Super Lotto mempunyai hak untuk melindungi diri mereka dengan menyembunyikan identiti sebenar semasa mengambil cek kemenangan.

Robert Finzi berkata, “Apabila seseorang itu mendapat tahu anda telah memenangi sejumlah wang yang banyak, tiba-tiba sahaja pelbagai perkara berubah. Dan secara tiba-tiba anda mula mendapat tahu bahawa sebenarnya anda mempunyai saudara-mara yang ramai dan datang entah dari mana.”

SUMBER : Says

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express