Petani Muda Kini Raih RM10,000 Sebulan

Demi impian menjadi petani moden berjaya, seorang pemuda sanggup berulang alik sejauh 40 kilometer sehari bagi memastikan tanaman yang diusahakan membuahkan hasil yang berkualiti tinggi.

Mohd Hafizuddin Mohd Zaky, 28, atau lebih mesra dengan panggilan Apih Zaky, mula berjinak dalam bidang pertanian sejak bangku sekolah lagi apabila beliau sering membantu ibu bapanya bercucuk tanam sewaktu masa lapang.

Peserta program Usahawan Graduation Terengganu menerusi bimbingan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu ini bermula dengan tanaman kontan di tanah berkeluasan dua ekar yang disewa bersama keluarga pada 2008.

“Semasa mengusahakan tanaman di tanah yang disewa di Kampung Banggol saya dan keluarga mampu meraih sekitar RM3,000 sebulan, namun kini pendapatan saya mencecah RM10,000 setelah mendapat bimbingan YPU dan mengusahakan tanah milik kerajaan negeri dengan hanya dikenakan bayaran pajakan RM2,000 setahun.

“Setakat ini hanya lapan daripada 20 hektar tanah yang baharu diusahakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai. Saya mengusahakan tanaman seperti kacang panjang, petola serta terung sebelum dipasarkan di Pasar Tani Bandar Permaisuri, Pasar Borong Kuala Terengganu dan Pasar Basah Kampung Lampu, Besut,” katanya kepada Bernama di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Rhu Tapai di sini.

Mohd Hafizuddin yang juga anak ketiga daripada empat beradik ini mula mengikuti pelbagai program keusahawanan sejak menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan mengambil keputusan mengusahakan tanaman secara persendirian setelah tiga tahun menamatkan pengajian.

Beliau pernah bekerja sebagai pengurus di sebuah premis makanan segera di Kuala Lumpur selama tiga tahun dan menyumbang dari segi modal, manakala tanaman diuruskan ibunya Norizam Abllah,48, bersama ayahnya Mohd Zaky Abdullah, 53, sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja serta menumpukan sepenuhnya pada bidang pertanian.

Bagi menampung kos perusahaan yang baharu dijalankan, beliau menerima dana sebanyak RM30,000 daripada Koperasi Sahabat serta sumbangan Jabatan Pertanian iaitu mesin pam air dan sistem paip yang juga bernilai RM 30,000 untuk digunakan bagi menyiram tanamannya.

Berkongsi pengalaman getir sebagai seorang petani, beliau berkata pernah mengalami kerugian apabila tanaman yang ditanam kesemuanya musnah akibat serangan haiwan perosak seperti serangga dan babi hutan.

“Saya mengambil inisiatif untuk membuat pagar mengelilingi kebun dan menggunakan racun serangga bagi mengelakkan tanaman rosak…Saya juga pernah bermalam di dangau (pondok kecil) yang dibina di kebun bagi mengawasi serangan babi yang masuk pada waktu malam,” katanya.

Mohd Hafizuddin berkata beliau turut menanam 400 anak pokok lada bagi menguji keadaan tanah sama ada sesuai dengan tanaman yang ingin dikomersialkan dan sekiranya anak pokok yang ditanam mati beliau akan mencuba jenis tanaman berbeza yang mungkin bersesuaian dengan tanah di kawasan tersebut.

Selain mengusahakan tanaman sayuran kampung, beliau turut menjalankan perniagaan biji benih kacang panjang dan bendi yang diproses sendiri selama 65 hari serta dibekalkan kepada syarikat Green World Genetics (GWG).

Katanya biji benih mendapat permintaan yang tinggi daripada GWG kerana beliau perlu membekalkan kira-kira tiga tan biji benih kacang panjang dan bendi.

“Setakat ini biji benih saya hanya dipasarkan kepada satu pembekal sahaja di samping digunakan untuk tanam sendiri,” katanya.

Beliau menyimpan impian untuk membuka pusat pengumpulan hasil sendiri di Bandar Permaisuri pada masa akan dating, sekali gus menjadi pembekal utama kepada petani kecil di kawasan tersebut.

“Insya-Allah saya nak kembangkan lagi pasaran tanaman kampung yang diusahakan ini dan saya juga ingin tanam tembikai pada satu bahagian di kebun ini…Saya yakin dengan sokongan dan bantuan daripada keluarga, saya mampu mengembangkan pasaran sedia ada kepada pasaran yang lebih luas,” katanya.

SUMBER : Bernama

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express