Akhirnya Aliff Aziz Menerusi Video Secara Langsung Tampil Mohon Maaf Dan Jelaskan Perkara Yang Berlaku

SETIAP kesalahan yang terjadi ada punca. Dalam kes saya, saya mengakui menjadi punca kepada semuanya. Perkara sebenar pun sudah terbukti.

“Jadi, saya ingin memohon maaf kepada semua. Bagi saya perlu untuk akui jika ia memang salah,” kata penyanyi dan pelakon Aliff Aziz mengenai kontroversi melanda dirinya apabila didakwa berlaku curang terhadap isterinya Bella Astillah apabila menjalin hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose.

Aliff menerusi sesi video live di Instagram malam tadi tidak menafikan perkara yang berlaku dan mengakui ia kesilapan besar.

Menurut Aliff, status dimuat naik Bella adalah benar dan dia tidak menyalahkan tindakan isterinya itu.

“Isteri saya sudah lalui macam-macam. Saya memberikan masalah kepadanya. Saya berasa sangat bersalah terhadapnya.

“Saya kesal atas apa yang terjadi dan saya tidak mahu nafikan kesalahan saya. Setiap manusia pasti buat salah. Dalam kes saya, diakui ia memang berpunca daripada saya.

“Nak caci, maki dan hamun saya silakan. Cuma, jangan komen apa yang anda tidak tahu,” katanya.

Menurut Aliff, dia sedang cuba membetulkan semula keadaan dan masalah rumah tangganya.

“Soal hubungan dan rumah tangga saya dengan isteri, biar saya yang selesaikan. Banyak perkara yang perlu dibuat dan diperbetulkan. Kesilapan saya pada Allah, biar saya uruskan. Kesalahan saya pada ibu bapa, itu tanggungjawab saya,” katanya.

Menurut Aliff, dia mengadakan sesi live itu bukan untuk menegakkan benang yang basah.

“Saya bukan nak cakap siapa yang salah. Malah banyak artikel keluar dan Via (Oktovia) pun sudah minta maaf dan tidak menafikan apa yang berlaku. Memang kami yang bersalah.

“Sekarang, saya cuba untuk ‘move on’ dengan apa yang berlaku. Saya juga mahu minta maaf kepada seluruh keluarga saya. Adik-beradik saya juga marahkan saya kerana menjadi punca umi (mak) saya dihentam netizen,” katanya.

Menurut Aliff, dia tidak kisah jika selepas ini orang ramai masih terus bercakap mengenai dirinya terutama kontroversi yang berlaku.

“Selepas ini, nak cakap apa, cakaplah. Saya sudah luahkan semuanya apa yang saya rasa. Selepas ini saya tidak mahu memberikan sebarang komen lagi. Insya Allah, selepas ini segalanya berjalan baik,” katanya.

Menerusi sesi live itu, Aliff menafikan dakwaan segelintir pihak mendakwa status dimuat naik ibunya di laman sosial adalah untuk menutup kesalahan dirinya.

“Apa yang umi muat naik bersifat menyeluruh. Tidak ada kaitan langsung dengan Bella, malah jauh sekali nak menutup kesalahan saya.

“Saya lebih tahu umi macam mana. Kalau apa yang saya buat salah, dia akan tegur dan marah. Apabila, status berkenaan menimbulkan persepsi berbeza daripada netizen, ini yang perlu saya betulkan.

“Kasihan umi kena hentam dan kritik gara-gara status itu. Kalau ikutkan dia halang saya daripada membuat sesi live perkara ini. Dia cakap, biarlah orang nak cakap apa mengenainya,” katanya.

https://youtu.be/vL68anM_gFs

SUMBER : KL Viral

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express