Cara Pindahkan Pokok Dari Polybag Ke Pasu Dengan Teknik Yang Betul

Kita pasti merungut apabila pokok yang ditanam tidak hidup. Ada yang menyalahkan diri sendiri dan ada menyalahkan pokok atau baja yang dikatakan tidak sesuai.

Lebih melucukan apabila ramai mempercayai mitos kononnya menanam pokok ada kaitan dengan ‘tangan panas’ dan ‘tangan sejuk’.

Mereka yang ‘tangan panas’ dikatakan sukar menanam pokok kerana walaupun dijaga sebaik manapun, ia sukar tumbuh subur dan mati. Berbeza dengan ‘tangan sejuk’ walaupun cuma mencampak benih, tanamannya pasti menjadi dan subur pula!

Apapun alasan diberi, punca utama masalah ini disebabkan kita kekurangan ilmu mengenai teknik dan cara penanaman yang betul.

Ini kerana tumbuhan itu juga makhluk bernyawa yang perlu diberi makan, minum serta penjagaan seperti manusia.

Minggu ini Penolong Pengarah (Bahagian Padi, Tanaman Industri dan Florikultur) Pusat Pembangunan Komoditi Serdang, Jabatan Pertanian Muhamad Adli Salihin Samsudin akan cuba merungkai mitos mengenai ‘tangan panas’ dan ‘tangan sejuk.’

“Seringkali masyarakat mengaitkan mereka yang bertangan sejuk akan berjaya menanam apa juga tanaman.

“Sebenarnya ada banyak faktor kejayaan menanam sesuatu tanaman. Antaranya, biji benih yang bermutu, tanah subur, faktor penjagaan, siraman air mencukupi, membaja secara betul dan berjaya menghalang perosak,” katanya.

Beliau berkata, mitos berkenaan sebenarnya sudah lama wujud tetapi kini ia masih menebal dalam kalangan pencinta pokok bunga dan hiasan.

“Setiap kali tanam pokok bunga, ia mati. Faktor ini menyebabkan golongan ini buat andaian tangan mereka panas lalu berputus asa. Tetapi apabila pokok bunga itu hidup segar, mereka katakan tangan sejuk pula,” katanya.

Muhamad Adli berkata, sebenarnya ada penyelesaian bagi kekusutan itu. Teknik memanam d4n pemasuan yang betul sangat penting.

“Apabila teknik atau kaedah betul digunakan, ia dapat menyelesaikan masalah itu. Teknik yang betul boleh dipelajari jika kita menyertai latihan atau kursus,” katanya.

Khas untuk pembaca akhbar ini, beliau sudi berkongsi teknik yang betul untuk tanaman dalam pasu. Ia diharap dapat membantu mengatasi masalah ‘tangan sejuk.’

Katanya, teknik ini boleh digunakan untuk menanam pokok dari beg semaian ke dalam pasu atau ke dalam lubang penanaman di tanah sama ada pokok besar atau kecil.

“Pertama, gunakan pasu yang ada lubang kerana pasu yang tidak berlubang hanya sesuai untuk tumbuhan akuatik seperti melati air dan cattail.

“Sebelum mula menanam, masukkan serpihan pasu atau batu menutup lubang itu bagi mengelak campuran tanah terkeluar selain mengatasi masalah air mengalir deras sehingga membawa keluar tanah.

“Kemudian, masukkan tanah campuran sebanyak satu pertiga pasu. Selepas itu, potong bahagian bawah beg semaian yang menjadi tempat semaian pokok dan tanam di dalam pasu. Timbus tanah campuran untuk menutup akar pokok,” katanya.

Beliau berkata, kaedah tanaman menggunakan pasu boleh digunakan untuk semua jenis pokok mengikut kesesuaian dan cita rasa.

“Bagaimanapun, pastikan bebola akar tidak pecah atau rosak. Pemasuan semula boleh dipraktikkan bagi pokok yang sudah lama hidup dalam pasu bagi menyelamatkannya atau membiakkan semula pokok,” katanya.



SUMBER : Harian Metro

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express