Dua Sahabat Jutawan Gaharu – Tanam 4000 Pokok Hasilkan 500ML Sebulan, 1ML Bernilai RM600 Pasaran UK Dan Eropah

Perusahaan berasaskan pokok gaharu sememangnya mendatangkan pulangan lumayan, ditambah pula minyak yang dihasilkannya antara paling bernilai dengan setiap milimeter boleh mencecah ribuan ringgit.

Dek keharuman minyak pokok gaharu ini, ramai pengusaha minyak wangi terkenal di dunia terutama di Eropah dan United Kingdom (UK) sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi mendapatkan bahan mentah utama kepada produk keluaran mereka.

Melihat potensi pasaran yang tinggi di luar negara itu, dua sahabat iaitu Adam Mahamad Hakimi, 30, d4n Muhamad Ariff Hassan, 28, menceburkan diri dalam penghasilan kayu dan minyak gaharu sejak lebih lima tahun yang lalu.



Muhamad Ariff berkata, semuanya bermula secara kebetulan ketika meratakan tanah untuk tanaman kelapa sawit tujuh tahun lalu, apabila beliau menemui pokok gaharu hutan di kawasan berkenaan.

“Terlintas di fikiran saya untuk mengekalkannya sekali gus mengelakkan kepupusan tanaman hutan berkenaan. Pada masa yang sama saya membuat beberapa penyelidikan akan kegunaan pokok gaharu di internet.

“Saya kemudian mengambil keputusan mencari anak benih pokok gaharu dan menanam hampir 4,000 pokok gaharu di ladang. Saya juga mengkaji dan mempelajari teknik penghasilan minyak gaharu di Thailand kerana negara terbabit mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang itu.

“Kini, ladang berkenaan menghasilkan minyak sejumlah 500 mililiter setiap bulan dan dipasarkan ke luar negara terutama Eropah serta UK,” katanya kepada BH ketika ditemui di kilang mereka yang terletak di Kampung Bujang, Merbok di sini.

Sementara itu, Adam berkelulusan kejuruteraan kimia Universiti of Sheffield, United Kingdom, berkata, biarpun berjawatan tetap sebagai jurutera, minat yang mendalam membuatkan dirinya terus meneroka bidang penghasilan kayu dan minyak gaharu.

Pada awal pembabitannya, dia membekalkan kayu gaharu tempatan ke pasaran Timur Tengah sebelum bekerjasama dengan Muhamad Ariff yang terlebih dahulu mengusahakan penghasilan minyak gaharu.

“Minat dengan wangian kayu gaharu bermula apabila saya terhidu wangian dari sebuah buku milik kenalan ketika berkunjung ke Afrika Selatan.

“Dia mengatakan bahawa pemilik asal buku itu akan membakar kayu gaharu setiap kali membaca buku itu. Sejak itu saya mula tertarik dengan wangian itu dan cuba mendapatkan kayu itu di sini (Malaysia).

“Saya kemudian membeli untuk kegunaan sendiri dan sering berkongsi di laman sosial. Namun, ia menarik minat kenalan laman sosial dari luar negara hingga mendapat permintaan daripada mereka,” katanya.

Muhamad Ariff berkata, kayu dan minyak yang terhasil daripada pokok gaharu hutan lebih bernilai tinggi, tetapi dalam masa sama, pokok gaharu ladang masih mendapat permintaan yang tinggi.

“Semakin gelap warna kayu yang terhasil maka semakin bernilai ia bernilai dan bagi menghasilkan satu mililiter minyak, ia memerlukan kayu sebanyak satu hingga dua kilogram.

“Perancangan masa depan, kami berhasrat mahu menghasilkan sehingga 10 liter minyak gaharu setiap bulan sekiranya produk gaharu tempatan terus diminati dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran luar negara,” katanya.

Info :

Kayu gaharu mencecah RM20 segram. Minyak gaharu anatar RM150 sehingga RM2,000 bagi tiga mililiter. Harga bergantung pada gred kayu gaharu.

SUMBER : Bharian Online

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express