Itu Ikan Baja, Bukan Ikan Kering – Jabatan Perikanan Kedah

Ikan yang dikeringkan seperti yang dilaporkan media semalam bukannya bagi tujuan industri hiliran untuk dijadikan sebagai ikan masin sebaliknya dijual sebagai ikan baja untuk baja tanaman ataupun kepada kilang pemprosesan serbuk ikan.

Pejabat Perikanan Negeri Kedah dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah turun ke lokasi untuk menyiasat perkara tersebut selepas pendedahan pemprosesan ikan kering yang telah didapati dijalankan secara tidak bersih dan dilaporkan di Langkawi.

“Berdasarkan laporan media, kelihatan enam ekor anjing didapati telah mendekati ikan kering yang sedang dijemur dan sedang menjilat,memijak dan memakan ikan kering tersebut.

“Ikan yang dikeringkan tersebut (sebenarnya) akan dijual sebagai ikan baja untuk tujuan baja tanaman ataupun kepada kilang pemprosesan serbuk ikan,” dipetik dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu turut menyebut, ikan yang dikeringkan ini hanyalah salah satu sumber pendapatan tambahan berdasarkan lebihan hasil tangkapan dan bukannya industri utama.

Industri utama di kawasan ini adalah pemprosesan ikan bilis yang menggunakan kaedah pemprosesan menggunakan mesin pengering.

Penggunaan mesin pengering bagi industri bilis Langkawi adalah digunapakai di seluruh Pulau Langkawi dan juga Tanjung Dawai.

Penggunaan mesin ini adalah lebih efektif, selamat dan tidak dipengaruhi faktor cuaca, berbanding penggunaan kaedah konvensional menggunakan kaedah jemuran di bawah cahaya matahari.

Pihak industri juga telah dinasihatkan agar mematuhi semua prosedur yang ditetapkan dan menjaga kebersihan serta menghubungi agensi yang berkaitan sekiranya memerlukan maklumat lanjut.



SUMBER : Astro Awani

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express