Gila Kuasa : Peguam Negara Terkedu Dimalukan Dr Mahathir

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa keputusan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian China, hanya boleh dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, keputusan yang dibuat dalam mesyuarat Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LPQB) bagi mengiktiraf sijil itu hanyalah pendapat mereka sahaja.

“Kalau kita nak iktiraf, kerajaanlah mesti iktiraf,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini, semalam, seperti dilaporkan Bernama.

Jumaat lalu, Peguam Negara yang juga Pengerusi LPQB mengesahkan, Peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) akan menerima pakai kelayakan UEC pada tahap ‘Senior Middle 3’ bermula 1 Januari 2021.

Katanya, syarat menduduki CLP bagi pemegang sijil kelayakan UEC ialah lulus sekurang-kurangnya dua mata pelajaran pada tahap Senior Middle 3, dan memperoleh sekurang-kurangnya lima kepujian pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/ O-Levels/setaraf yang diperoleh dalam satu peperiksaan yang sama.

Tommy berkata, syarat berkenaan hendaklah terpakai bagi semua pelajar yang mendaftar bagi kemasukan program Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang selepas pengumuman keputusan terdahulu pada 5 Jun 2018.

Susulan itu, pelbagai pihak, termasuk ahli akademik dan pemimpin politik mengecam langkah LPQB yang dianggap tidak sensitif rakyat, terutama bangsa Melayu, membelakangi kerajaan, serta bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

UEC adalah sijil Sekolah Swasta (SMPC) yang dikelolakan Jawatankuasa Kerja Sekolah-sekolah Menengah Cina (MICSS) dan wakil-wakil dari Dong Jiao Zong.

Sijil ini langsung tidak ada kaitan dengan Lembaga Peperiksaan Malaysia, sementara kurikulumnya pula tidak mengikut Dasar Pendidikan Negara.

Pengiktirafan UEC adalah antara janji Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu. Kerajaan juga menubuhkan Pasukan Petugas Dasar UEC (PPDUEC) bagi menjalankan kajian mengenai sijil berkenaan.

Namun, PPDUEC itu dianggap tidak bebas kerana kelayakan salah seorang daripada tiga individu yang menganggotainya, iaitu Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Tan Yew Sing, dipertikai.

Untuk pengetahuan, Tan Yew Sing adalah Timbalan Presiden Pertubuhan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong). Pertubuhan ini adalah pengelola UEC, dan sejak sekian lama kuat mendesak kerajaan mengiktiraf UEC.

UEC atau Unified Examination Certificate, diwujudkan oleh Persatuan Guru dan Pengarah Sekolah Cina (Dong Jiao Zong) sejak 1975, dan digunakan di sekolah persendirian Cina di Malaysia, di mana silibusnya berasal dari Taiwan.

Sijil peperiksaan ini diwujudkan setelah kerajaan memberhentikan bantuan selepas lembaga pengelola sekolah-sekolah persendirian Cina enggan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seperti sekolah awam biasa.

Terdapat tiga tahap dalam UEC iaitu vokasional (UEC-V); Junior (UEC-JML/JUEC); dan Senior (UEC-SML/SUEC).

Bahasa Cina adalah bahasa pengantar bagi kurikulum dan peperiksaan untuk UEC-V serta UEC-JML, sementara bahasa pengantar bagi subjek Matematik, Sains (Biologi, Kimia dan Fizik), Simpanan Kira-Kira, dan Perdagangan, pula menggunakan Bahasa Cina dan Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Peperiksaan itu tidak pernah diiktiraf untuk memasuki mana-mana institusi pengajian tinggi awam, kerana bercanggah dengan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan 1996. Namun, sejak Pakatan Harapan memerintah, usaha untuk mengiktiraf UEC semakin giat dilaksanakan.