“Setiap Hari Orang Tanya Bila Nak M4ti..” – Elyana Kini Bertarung Dengan Kanser Yang Merebak Ke Tulang Belakang

Bertarung dengan kanser limfoma tahap empat, penyanyi Elyana akui terkilan dengan kata-kata kecaman netizen terhadap dirinya. Lebih menyedihkan, ada netizen yang sanggup mempersoalkan mengapa dia masih belum mati.

Kata Elyana, dia cukup sedih dengan kata-kata tersebut dan tertanya-tanya apa salahnya sehingga ada yang sanggup melemparkan kecaman sedemikian rupa.

“Saya manusia biasa. Kalau setiap hari orang kecam dan tanya bila nak mati, apa yang korang rasa? Apa saya buat salah dalam kehidupan ni sampai semua orang nak tengok saya mati?

“Lagi-lagi saya tengah sakit, bila dapat kata-kata macam tu, memang otak akan jadi negatif. Tapi sekarang ni saya dah tak hairan apa orang nak cakap sebab saya tahu dunia ini berputar. Kita balas tak akan sama dengan Allah balas,” katanya kepada Media Hiburan.

Elyana juga mendedahkan sel kanser telah merebak ke tulang belakang. Kata Elyana, pada mulanya dia menyangkakan hanya sakit belakang, namun kesihatannya kini semakin stabil selepas melakukan rawatan radioterapi.

“Selepas buat radioterapi baru keadaan saya pulih kembali. Sebab itu saya mahu langsaikan konsert ini secepat mungkin. Takkan saya asyik nak ulang alik ke hospital. Duduk rumah, itu bukan hidup saya. Saya menyanyi daripada tingkatan satu. Ini hidup saya.

“Ini memori sepanjang 19 tahun saya dalam industri. InsyaAllah anak boleh tengok nanti kalau dia rindu. Siapa sahaja yang rindukan saya boleh tengok nanti. Saya tengah sakit. Kalau saya tunda apa yang saya nak, mungkin cita-cita saya tak kesampaian,” katanya.

Dalam pada itu, Elyana bakal mengadakan konsert Elyana Jadi Diriku 19 ‘Live in Concert’ yang akan diadakan pada 6 Julai ini di Bentley Music Auditorium, Damansara. Konsert tersebut adalah bersempena usaha mengumpul dana untuk diagihkan kepada pesakit kanser yang memerlukan bantuan.

Elyana Kembali Stabil Selepas Radioterapi



BAKAL mengadakan konsert pada Julai depan, penyanyi Elyana mengakui keadaan kesihatannya kembali stabil selepas dia menjalani rawatan radioterapi.

Ia berikutan pada awal tahun ini, kanser limfoma tahap empat yang dihidapinya hampir merebak ke seluruh tulang belakang.

“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya agak memuaskan selepas menjalani rawatan radioterapi. Pada awal saya menyangka hanya sakit belakang rupanya kanser sudah hampir merebak ke seluruh tulang belakang,” katanya.

Elyana, 32, atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal ditemui selepas pelancaran konsert sulungnya berkata, perancangan mengadakan konsert itu antara impiannya sebagai artis.

Konsert yang diberi nama Elyana Jadi Diriku 19 ‘Live in Concert’ itu akan diadakan pada 6 Julai ini di Bentley Music Auditorium, Damansara.

Bakal mempersembahkan himpunan lagu popularnya selama satu setengah jam, Elyana berkata, konsert itu juga sebagai pemberi semangat kepada golongan penghidap kanser sepertinya.

“Saya mahu semua tahu penghidap kanser boleh melakukan apa yang mereka mahu. Ia adalah permulaan untuk kita mengatur hidup lebih baik dan bukan untuk diratapi.

“Saya juga mengalukan penghidap kanser untuk turut hadir menyaksikan konsert ini nanti,” katanya.

Dalam pada itu, berkongsi mengenai kesihatan dirinya sehingga konsert, Elyana mengakui sistem imunisasinya tidak sekuat dulu dan cepat demam.

Justeru, dia akan sentiasa bersenam dan berusaha melakukan yang terbaik supaya semuanya berjalan lancar.

“Pada hari konsert juga akan ada doktor yang memantau keadaan saya. Saya berharap segala-galanya berjalan dengan baik,” katanya.

Sebanyak 30 peratus hasil jualan tiket akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

SUMBER : Mediaohsem

Nota : Jika Anda Rasa Artikel Ini Menarik Mohon Kongsikan Kepada Rakan Rakan Anda Di Facebook Dan Jangan Lupa Untuk Like dan Terus Ikut Kami Di Lubok Cerita Express